Kulinari Sarawak Dicadang Disesuaikan Dengan Diet Sihat Tanpa Jejas Keaslian Rasa
KUCHING: Kulinari Sarawak disaran agar disesuaikan dengan amalan diet sihat tanpa menjejaskan keaslian dan keenakan rasanya bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha tersebut tidak bermaksud mengubah identiti masakan tempatan, sebaliknya memastikan kandungan nutrisi makanan lebih seimbang menerusi penglibatan pakar diet yang mampu mengekalkan cita rasa asli hidangan.
"Jadi kita memerlukan lebih ramai pakar diet supaya makanan yang dihidangkan benar-benar seimbang dari sudut pemakanannya tanpa menjejaskan keenakan rasanya.
"Mungkin yang perlu diubah ialah kuantiti atau cara kita mengambil makanan kerana kadang-kadang kita menghidangkan terlalu banyak sehingga berlaku pembaziran dan ada kalanya orang tidak menghabiskan makanan, mungkin hanya makan satu pertiga atau separuh sahaja, maka baki yang lain menjadi pembaziran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran UNESCO Creative Cities Network (UCCN) di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Tambahnya, pengambilan makanan perlu diseimbangkan dengan Indeks Jisim Badan (BMI), memandangkan individu yang terlalu kurus berisiko mengalami kekurangan zat makanan, manakala mereka yang terlalu gemuk pula berdepan pelbagai risiko kesihatan.
Terdahulu dalam ucapan, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, hasil saringan kesihatan menerusi program Sarawakku Sayang di beberapa kawasan menunjukkan trend kesihatan yang berbeza apabila ramai penduduk di Kapit dikenal pasti mempunyai masalah kolesterol, manakala isu utama yang dikesan di Sibu ialah obesiti.
Menurutnya, penemuan tersebut perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti faktor penyumbang supaya langkah intervensi yang bersesuaian dapat dilaksanakan.
Jelasnya secara berseloroh, peningkatan obesiti di Sibu mungkin disebabkan oleh Mi Kampua yang mengandungi kanji yang tinggi sekali gus memerlukan amalan pemakanan yang lebih sihat.
"Dengan kata lain, apabila kita menyediakan makanan, kita perlu mengambil kira aspek diet dan kandungan pemakanannya.
"Dalam proses penyediaan makanan itu juga, kita memerlukan pakar yang benar-benar memahami makanan tropika supaya mereka dapat mengkaji serta mencadangkan kaedah penyediaan makanan yang sesuai berdasarkan bahan-bahan yang digunakan," katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Dato Hilmy Othman serta dif kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus