Sarawak Pastikan Pembangunan Sektor Gastronomi Beri Manfaat Langsung Kepada Rakyat
KUCHING: Sarawak komited memastikan pembangunan sektor gastronomi bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan, malah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui pewujudan peluang ekonomi, peningkatan pendapatan komuniti serta pemeliharaan warisan budaya negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, gastronomi mempunyai potensi besar sebagai sektor ekonomi yang mampu menyokong keseluruhan rantaian nilai melibatkan petani, nelayan, pengeluar makanan, usahawan, artisan, penyelidik dan cef.
"Di Sarawak, aspirasi kita amat mudah, sangat mudah iaitu kita mahu gastronomi meningkatkan kehidupan rakyat kita.
"Pembangunan hanya bermakna apabila manfaatnya sampai kepada keluarga biasa, mewujudkan peluang di peringkat akar umbi, serta membolehkan komuniti menikmati manfaat secara langsung daripada warisan dan sumber yang mereka miliki sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran UNESCO Creative Cities Network (UCCN) di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak menawarkan pengalaman gastronomi yang unik dengan lebih 30 komuniti etnik, masing-masing memiliki tradisi kulinari tersendiri yang berkembang sejak ratusan tahun lalu.
Jelasnya, setiap resipi menceritakan kisah tersendiri, setiap ramuan mencerminkan persekitaran asalnya, manakala setiap kaedah masakan mewarisi ilmu, kebijaksanaan dan identiti budaya yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Tegasnya, makanan bukan sekadar memenuhi keperluan asas, malah berperanan memelihara budaya dan identiti, mendidik generasi muda menghargai warisan nenek moyang, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup melalui pengkomersialan sumber, kemahiran dan tradisi tempatan secara mampan.
"Saya difahamkan tema mesyuarat tahunan pada tahun ini, ‘Berteraskan Warisan, Membina Masa Depan: Gastronomi sebagai Pemangkin Bandar Kreatif dan Mampan’ benar-benar menggambarkan hala tuju yang perlu kita capai bersama.
"Warisan memberikan asas yang kukuh kepada kita, inovasi membolehkan kita terus maju, dan masa depan adalah milik bandar-bandar yang berjaya mengekalkan identiti mereka sambil menerima idea-idea baharu," jelasnya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus