Makarion FC Rangkul Kejuaraan Liga Betong 2026 Selepas Tewaskan Hermanos FC 3-0
BETONG: Makarion FC muncul juara Kejohanan Bolasepak Liga Betong 2026 selepas menewaskan Hermanos FC 3-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong, pada Ahad lalu.
Kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sarawak itu menghimpunkan lapan pasukan dari seluruh Bahagian Betong, sekali gus menjadi platform mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu hadir menyaksikan perlawanan akhir sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada majlis penutupan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Liga Betong 2026, Azmi Abdullah, serta Pegawai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Betong, Tony Malang.
Liga Betong 2026 melibatkan lapan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A terdiri daripada Makarion FC, Crossover FC, Spaoh United dan Landas Betong, manakala Kumpulan B dianggotai Hermanos FC, Pusa District FC, Bijat FC dan Bungin KSRB.
Makarion FC melangkah ke pentas final selepas menewaskan Pusa District FC 5-1 pada aksi separuh akhir, manakala Hermanos FC menempah slot ke final selepas menewaskan Crossover FC.
Manakala, Hermanos FC berpeluang membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama, namun gagal disempurnakan sekali gus menyaksikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat babak pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Makarion FC mempamerkan aksi lebih bertenaga apabila berjaya memperoleh gol pembukaan sebelum menambah dua lagi jaringan menjelang tamat permainan bagi memastikan kemenangan bergaya 3-0 dan menjulang kejuaraan Liga Betong 2026.
Sebagai juara, Makarion FC membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta piala dan pingat, manakala Hermanos FC selaku naib juara menerima RM3,000 bersama piala dan pingat.
Pusa District FC dan Crossover FC yang tewas di peringkat separuh akhir pula berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat.
Penganjuran Liga Betong 2026 dilihat bukan sahaja menjadi medan melahirkan pemain bola sepak berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, malah menggalakkan gaya hidup sihat, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat melalui sukan.-EDISI UKAS