Bermula Dengan Sebatang Cangkul, Tosari Farm Kini Destinasi Agropelancongan Bario
BARIO: Bermula dengan hanya sebatang cangkul dan 12 batas tanaman sawi serta jagung pada 2019, Tosari Farm kini muncul sebagai antara destinasi agropelancongan yang semakin mendapat perhatian di Bario hasil kegigihan pengusahanya, Tom Gatum, serta sokongan berterusan Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Pertanian Sarawak.
Menurut Tom, beliau mula mengusahakan tanah yang dipenuhi semak di Kampung Pa Ukat pada 2019 menggunakan kaedah tradisional sebelum usaha gigihnya mendapat perhatian Jabatan Pertanian Sarawak.
Ujarnya, lawatan pegawai Jabatan Pertanian Sarawak pada penghujung 2019 menjadi titik perubahan apabila beliau menerima bantuan awal berupa sistem tanaman tertutup menggunakan tiang dan jaring sebelum disusuli pembinaan dua unit rumah hijau.
"Pada waktu itu saya masih pakai cangkul dan menggunakan cara tradisional. Mula-mula tanam sayur seperti sawi dan jagung.
"Saya hanya bermula dengan 12 batas dan pendapatan ketika itu sekitar RM200 sebulan," katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Tosari Farm di Kampung Pa Ukat, Bario pada Jumaat.
Katanya, bantuan tersebut membolehkannya mengusahakan tanaman bernilai tinggi seperti rock melon yang mendapat sambutan menggalakkan sekali gus membuka peluang untuk mengembangkan lagi perusahaan pertaniannya.
Kini, Tosari Farm mengusahakan 24 varieti anggur yang dipilih daripada hampir 40 varieti yang pernah diuji bagi mengenal pasti jenis paling sesuai dengan iklim tanah tinggi Bario.
Antara varieti yang menunjukkan prestasi terbaik ialah Academic, Jupiter dan Ninel, dengan varieti Academic menjadi pilihan utama kerana mudah berbuah serta mempunyai nilai komersial tinggi.
Dalam satu musim tuaian, Tosari Farm mampu menghasilkan kira-kira 40 kilogram anggur yang dijual pada harga RM45 sekilogram, dengan kebanyakan hasilnya telah ditempah oleh komuniti setempat sebelum dituai.
Selain anggur, Tosari Farm turut mengusahakan tujuh varieti strawberi termasuk varieti Taiwan yang terkenal dengan rasa lebih manis, aroma harum serta saiz buah yang besar.
Setiap kitaran pengeluaran mengambil masa kira-kira dua setengah bulan dengan hasil sekitar 10 kilogram yang dijual pada harga RM60 sekilogram.
Pembangunan tanaman strawberi itu turut diperkukuh menerusi sokongan Bahagian Penyelidikan Jabatan Pertanian Sarawak yang membina dua rumah hijau pada 2024 bagi projek penyelidikan penanaman strawberi di tanah tinggi Bario sebelum diserahkan kepada Tom untuk diuruskan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Tom memberitahu, kos logistik masih menjadi cabaran utama kerana penghantaran hasil menggunakan pengangkutan udara melibatkan kos tinggi dan kapasiti yang terhad.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Sarawak menaik taraf jalan balak di Baram dan Bario dapat diteruskan kerana akan memberi manfaat besar kepada petani, khususnya dalam memudahkan pengangkutan hasil pertanian.
Menurutnya, keadaan laluan Bario–Long Banga kini semakin baik berbanding sebelum ini, sekali gus memudahkan perjalanan di kawasan tersebut.
Selain memasarkan hasil pertanian kepada komuniti setempat, beliau kini memberi tumpuan untuk membangunkan Tosari Farm sebagai destinasi agropelancongan yang membolehkan pengunjung melihat sendiri tanaman anggur dan strawberi serta menikmati buah yang dipetik segar. -EDISI UKAS