Persiapan SKS 2026 Sri Aman Diperkemas, Fokus Penyampaian Perkhidmatan Kepada Rakyat
SRI AMAN: Persiapan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman diperkemas menerusi penyelarasan antara kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, kerjasama semua pihak merupakan asas penting bagi memastikan program yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 September depan itu mencapai objektif ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program Sarawakku Sayang 2026 (Zon Selatan) Bahagian Sri Aman di Wisma SADA, di sini pada Rabu.
Mesyuarat berkenaan turut meneliti perkembangan semasa, status persiapan serta perancangan pelaksanaan program menerusi taklimat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) selaku jawatankuasa pelaksana.
Perbincangan memberi tumpuan kepada penyelarasan pengurusan program, aspek keselamatan, penyertaan agensi kerajaan serta penglibatan komuniti setempat bagi memastikan perjalanan program dapat dilaksanakan tanpa sebarang kekangan.
Dato Sri Dr Muhammad Abdullah turut menggesa semua jawatankuasa melaksanakan tanggungjawab masing-masing secara proaktif dan teliti supaya setiap pengisian program dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Usai mesyuarat, beliau bersama rombongan turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi penganjuran bagi menilai kesesuaian kemudahan, susun atur kawasan, aliran pergerakan peserta serta keperluan logistik.
Program SKS 2026 Bahagian Sri Aman akan berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman pada 25 hingga 27 September 2026.
Program berkenaan menjadi platform Kerajaan Sarawak mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan yang disediakan kerajaan.
Pelaksanaan program turut diharap dapat memperkukuh interaksi antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat serta memastikan rakyat lebih mudah mendapatkan akses kepada perkhidmatan dan maklumat yang berkaitan dengan keperluan mereka. -EDISI UKAS