Generasi Muda Terajui Kampung Hulu Lingga, Perkasa Pembangunan Komuniti
LINGGA: Kampung Hulu Lingga kini diterajui kepimpinan generasi muda apabila Awg. Nasruddin Awg. Merekan, 35, dipilih sebagai Ketua Kampung yang baharu selepas memenangi pemilihan yang berlangsung di Dewan Tok Abang Ujang, di sini, pada Rabu.
Pemilihan itu mencerminkan keyakinan penduduk terhadap kemampuan golongan belia untuk menerajui pentadbiran kampung serta menggerakkan agenda pembangunan yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
Menurut Awg. Nasruddin, amanah yang diberikan akan diterjemahkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada seluruh penduduk, khususnya dalam memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan kebajikan masyarakat serta memperkasa penglibatan belia dalam pembangunan komuniti.
“Amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen.
“Saya mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan yang dirancang serta mewujudkan sebuah kampung yang lebih maju, harmoni dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui selepas keputusan rasmi diumumkan.
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan aktif golongan belia mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih dinamik menerusi penghasilan idea baharu dan pelaksanaan program yang memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Dalam pertandingan dua penjuru itu, Awg. Nasruddin memperoleh 27 undi bagi menewaskan pencabarnya, Razali Talaha, 65, yang meraih lima undi.
Proses pengundian yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi melibatkan 32 daripada 44 Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak mengundi, sekali gus merekodkan kadar kehadiran hampir 73 peratus tanpa sebarang undi rosak.
Sementara itu, Penyelaras Pengundian dari Pejabat Daerah Lingga, Awg. Irwandy Awg. Yaman berkata keseluruhan proses pemilihan berjalan lancar, telus dan teratur hasil kerjasama semua pihak serta pematuhan terhadap tatacara yang telah ditetapkan.
Beliau memaklumkan bahawa proses pemilihan itu turut disaksikan oleh Temenggong Mohd. Shah Acang, manakala urusan pengundian dan pengiraan undi dikendalikan oleh pegawai Pejabat Daerah Lingga iaitu Siti Nurquiah Mahruf, Rosdy Jolly, Zul Hakimi Tahir, Nathalia Leman Roy dan Gary Liew.
Tambah beliau, kepimpinan baharu Kampung Hulu Lingga diharap dapat meneruskan agenda pembangunan secara berterusan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat, termasuk memperkasa kemudahan asas, merancakkan ekonomi komuniti, membangunkan modal insan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Program pemilihan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Daerah Lingga dan dihadiri kira-kira 50 penduduk setempat.-EDISI UKAS