Persiapan Penyiaran Sukan SEA 2027 Diperkukuh Menerusi Bengkel Konsortium
PAHANG: Persediaan penyiaran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 diperkukuh menerusi Bengkel Konsortium Penyiaran yang menghimpunkan agensi penyiaran serta media utama negara bagi menyelaras aspek teknikal, operasi dan standard liputan menjelang temasya sukan dwitahunan itu pada 2027.
Bengkel selama tiga hari anjuran Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) yang bermula hari ini menjadi platform penting untuk memperincikan keperluan penyiaran, termasuk penyelarasan penggunaan peralatan, operasi penyiar rasmi serta rakan penyiar bagi memastikan liputan temasya dapat dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi standard yang ditetapkan.
Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi MASOC, Norismadi Abdul Manap berkata, bengkel tersebut bertujuan menyelaras perancangan penyiaran secara menyeluruh bagi memastikan setiap agensi yang terlibat memahami peranan serta tanggungjawab masing-masing sepanjang penganjuran Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Maslina Muhamad Yusof @ Kamarudin menegaskan bengkel berkenaan amat penting bagi mengenal pasti keperluan peralatan, khususnya dari aspek teknikal, supaya setiap perbelanjaan dapat dirancang mengikut bajet yang telah diperuntukkan.
“Semua pihak perlu mempunyai matlamat yang jelas terhadap hasil yang ingin dicapai sepanjang bengkel berlangsung agar setiap perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Bengkel ini penting untuk mengenal pasti keperluan peralatan, khususnya dari aspek teknikal, supaya segala perbelanjaan dapat dirancang mengikut bajet yang telah diperuntukkan. Apa yang hendak dicapai melalui bengkel ini juga perlu jelas,” katanya.
Antara agensi yang menyertai bengkel tersebut ialah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Media Prima, Astro Arena, TVS, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang serta Media Digital Johor.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta turut membincangkan ketetapan bersama melibatkan penyiar rasmi dan rakan penyiar, termasuk penyelarasan prosedur operasi, keperluan teknikal serta standard liputan yang akan diguna pakai sepanjang penganjuran temasya itu.
Sukan SEA Ke-34 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 melibatkan 43 jenis sukan yang akan dipertandingkan di kluster Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Untuk rekod, Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi 18 acara sukan selain dipilih sebagai lokasi Majlis Perasmian Sukan SEA Ke-34, sekali gus mengukuhkan peranan negeri itu sebagai antara hab utama penganjuran temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara.-EDISI UKAS