Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Perlu Terus Diperkasa, Cungkil Bakat Berkualiti Masa Hadapan
MUKAH: Pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi perlu terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai pemain muda berpotensi dapat dicungkil dan dibentuk menjadi pemain berkualiti pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penyertaan lima pasukan dari Persatuan Bola Sepak Mukah (MUFA) serta dua akademi bola sepak daerah Mukah dalam PETRONAS Youth Football Close Tournament (PYFCT) U10 Edisi 2026 di Bintulu merupakan antara platform penting untuk memberi pendedahan kompetitif kepada pemain muda.
Menurut beliau, penyertaan dalam kejohanan seperti itu membolehkan pemain berusia tujuh hingga 10 tahun memperoleh pengalaman pertandingan serta membantu mengenal pasti potensi dan mengembangkan bakat mereka menerusi latihan serta bimbingan yang berterusan.
“Kita dapat lihat potensi pemain-pemain muda, serta mengembangkan bakat-bakat mereka melalui bimbingan serta latihan yang berterusan,” katanya semasa kejohanan tersebut pada Sabtu.
Beliau berkata, pembangunan pemain muda memerlukan perancangan jangka panjang dan tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya perlu disokong dengan kaedah latihan yang bersesuaian mengikut peringkat umur.
“Satu cabaran besar dan berbaloi. Pembangunan pemain perlu bermula di peringkat akar umbi menerusi perancangan tersusun, kesabaran dan kaedah latihan mengikut peringkat umur,” ujarnya.
Sehubungan itu, Royston berkata lebih banyak platform pertandingan perlu disediakan di Mukah dan Sarawak supaya pemain muda mendapat pendedahan lebih luas serta membina keyakinan ketika berdepan pasukan dari daerah dan bahagian lain.
Katanya, pendedahan di luar kawasan juga penting dalam membantu pemain mengukur kemampuan masing-masing, selain memberi pengalaman baharu yang dapat menyokong perkembangan mereka secara berperingkat.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Mukah (MUFA), Khairul Anuar Adeni, berkata pendedahan seperti itu amat penting kepada pemain akar umbi untuk membina pengalaman sebelum bersaing pada tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata, kejohanan khusus bagi kategori bawah 10 tahun jarang dianjurkan dan menjadikan PYFCT sebagai platform unik yang mampu menarik penyertaan sekolah serta akademi bola sepak dari seluruh Sarawak.
Khairul Anuar turut berharap pihak PETRONAS dapat mempertimbangkan penganjuran kejohanan kategori akar umbi itu di Mukah pada tahun hadapan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda, khususnya dari kawasan pedalaman, untuk mendapat pendedahan di pentas kompetitif.-EDISI UKAS