Risiko Integriti Perlu Ditangani Sebelum Jejas Kepentingan Rakyat
KUCHING: Kementerian, jabatan dan agensi di Sarawak perlu mengenal pasti serta menangani risiko integriti lebih awal bagi mengelakkan kelemahan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan daripada menjejaskan kepentingan rakyat.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah itu termasuk menilai semula proses kerja, mengenal pasti ruang kelemahan dan melaksanakan tindakan pencegahan yang bersesuaian secara berterusan.
Menurut beliau, antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah konflik kepentingan, kelemahan kawalan dalaman, kelewatan penyampaian perkhidmatan dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata, teguran audit, aduan awam, syor Ombudsman serta kelemahan sistem juga perlu dilihat sebagai asas untuk penambahbaikan, bukannya sekadar diberikan maklum balas tanpa menyelesaikan punca permasalahan.
“Ketua jabatan juga perlu memastikan proses kerja sentiasa diperkemas dan ditambah baik menerusi pendekatan 3R iaitu ‘Revisit, Rethink, Recharge’, terutamanya bagi perkhidmatan yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2026 bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, kecekapan penyampaian perkhidmatan perlu dipertingkatkan tanpa mengabaikan pematuhan, akauntabiliti dan kepentingan awam.
Pada masa sama, ujarnya, peranan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu terus diperkasakan sebagai rakan strategik organisasi dalam mengenal pasti risiko, memperkukuh tadbir urus dan membudayakan integriti secara berterusan.
Beliau menegaskan setiap penambahbaikan perlu disertai tanggungjawab yang jelas, tempoh pelaksanaan serta pemantauan berterusan bagi memastikan kelemahan tidak dibiarkan sehingga menjadi budaya.
“Pentadbiran yang berintegriti ialah pentadbiran yang sentiasa bersedia mengenal pasti risiko, memperbaiki kelemahan dan mengambil tindakan awal demi melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut beliau, agenda integriti juga perlu dibangunkan melalui ekosistem menyeluruh yang merangkumi pendidikan, pencegahan, pemantauan, penguatkuasaan, pengurusan aduan dan penambahbaikan sistem secara berterusan bagi merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai negeri maju dan berintegriti tinggi menjelang 2030.
Sambutan HIS 2026 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) merupakan penganjuran kali kedua selepas dijenamakan semula daripada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i).
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua-ketua Jabatan serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS