KLANG: Kempen Sarawak dalam acara bola keranjang 3x3 berakhir selepas skuad lelakinya tumpas pada peringkat suku akhir di tangan musuh tradisi yang juga tuan rumah, Selangor pada Khamis.
Kuartet Sarawak dibarisi Leon Ling Sheng Yi, Nelson Tan Yin Fung, Hii Tai Seng dan Denny Pek Sheng Yi gagal mengekang corak permainan agresif Selangor untuk tewas 21-11 dalam aksi berlangsung di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi 2.
Meskipun memberikan saingan sengit di awal perlawanan, namun beberapa gerakan kurang kemas pemain Sarawak gagal menghasilkan skor.
Sebaliknya Selangor yang membariskan Yap Zen Haw, Yap Jin Xi, Tan Yu Xiang dan Chang Yuan Biao menampilkan permainan yang lebih teratur dan sering meraih skor mudah.
Sarawak juga sering dihukum atas kesalahan fouls berbanding Selangor yang memberi banyak mata kepada tuan rumah.
Terdahulu, skuad wanita Sarawak tersingkir awal semalam selepas tewas tiga kali berturut-turut.
Peluang Sarawak untuk menebus kekecewaan kini menerusi acara bola keranjang 5x5 yang dijadual bermula pada Jumaat. - EDISI UKAS