Skuad Kriket Lelaki Sarawak Terus Cabaran Dalam SUKMA XXII 2026
SELANGOR: Skuad kriket lelaki Sarawak meneruskan cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila turun berdepan Kedah dalam saingan T50 berpasukan lelaki, kumpulan D pada Khamis.
Pertemuan yang berlangsung di YSD-UKM Oval itu menjadi medan penting buat barisan muda Bumi Kenyalang dalam usaha memburu keputusan positif dan memperkukuh kedudukan sepanjang saingan.
Sarawak turun ke temasya kali ini dengan misi besar untuk memperbaiki pencapaian edisi terdahulu selepas meraih pingat perak pada SUKMA XXI Sarawak 2024.
Justeru, setiap perlawanan menjadi ujian penting kepada barisan pemain Sarawak untuk mengekalkan konsistensi, selain mempamerkan disiplin serta ketahanan mental dalam memburu sasaran pingat emas.
Saingan kriket merupakan antara beberapa acara SUKMA XXII yang bermula lebih awal sebelum temasya berkenaan dibuka secara rasmi pada 15 Ogos ini.
SUKMA XXII Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos melibatkan 37 jenis sukan. -EDISI UKAS