Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri Perkukuh Hubungan Sarawak Dengan Negara Luar
KUCHING: Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri di Sarawak kini memainkan peranan lebih luas dalam memperkukuh hubungan Kerajaan Sarawak dengan negara-negara luar.
Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan berkata, peranan pejabat wilayah itu bukan lagi terhad kepada urusan konsular, malah turut menjadi penghubung antara Kerajaan Sarawak dengan kedutaan serta negara-negara luar.
Menurut beliau, hubungan berkenaan turut merangkumi usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN, China dan Kesatuan Eropah khususnya dalam meneroka peluang kerjasama yang mampu menyokong pembangunan Sarawak.
“Pejabat wilayah ini pada mulanya memang membuat hubungan konsular kepada rakyat kita di Sarawak, namun dalam masa yang sama tugas kita sekarang ini telah berkembang.
“Ia merangkumi peranan sebagai penghubung kepada Kerajaan Sarawak dengan kedutaan-kedutaan dan negara-negara di luar, khususnya Kesatuan Eropah dan China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hendy berkata hubungan dengan negara-negara ASEAN turut penting memandangkan Sarawak mempunyai sempadan dengan beberapa negara anggota ASEAN.
Jelasnya, negara-negara ASEAN turut melihat Sarawak sebagai contoh pembangunan yang boleh diterokai bersama, khususnya dalam sektor tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam pada itu, beliau berkata kunjungan hormat tersebut turut membincangkan pembangunan yang telah dilaksanakan di Sarawak serta peranan Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri dalam membantu memperkukuh hubungan negeri dengan negara-negara luar bagi menyokong agenda pembangunan negeri.
“Kita berbincang tentang pembangunan yang telah dilaksanakan di Sarawak, bagaimana kita pesat membangunkan negeri dengan rancangan Strategi Pembangunan Pasca COVID 2030 (PCDS 2030) dan bagaimana Kementerian Luar Negeri, Pejabat Wilayah dapat membantu dalam mengadakan hubungan dengan negara-negara luar tersebut,” tambahnya.
Hendy turut menyatakan Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri bersedia menyokong Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh hubungan antarabangsa termasuk membantu meneroka peluang kerjasama dalam sektor-sektor yang mempunyai kepentingan bersama.-EDISI UKAS