Tangani Segera Keperluan Atlet SUKMA Sarawak - Datuk Gerald
SHAH ALAM: Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu mahu apa jua isu yang masih membelenggu atlet Sarawak yang bertanding pada temasya SUKMA Ke-22 Selangor 2026 diselesaikan dengan segera.
Tegasnya, langkah itu perlu bagi memastikan semua atlet dapat ‘berperang’ dengan semangat juang tinggi dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap pertandingan, seterusnya menghadiahkan kilauan pingat kepada kontinjen negeri.
Beliau menegaskan perkara tersebut semasa mempengerusikan Mesyuarat Bersama Chef De Mission Kontinjen Sarawak Bil.1 di Bilik Operasi Sekretariat Kontinjen Sarawak di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menyeru agar semua jawatankuasa terlibat memainkan peranan penting memastikan setiap keperluan atlet dipenuhi untuk tidak menjejaskan prestasi mereka.
Mesyuarat tersebut merupakan rutin Kontinjen Sarawak setiap kali berlangsung temasya SUKMA bagi membincangkan apa jua masalah yang masih timbul serta menambah baik segala persiapan kontinjen.
Selain itu, mesyuarat itu juga menjadi ruang untuk mengenal pasti apa jua kelemahan serta memikirkan strategi terbaik untuk meningkatkan prestasi atlet.
Pelbagai perkara turut dibentangkan oleh setiap jawatankuasa terlibat untuk diperhalusi dan diambil tindakan susulan.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum yang juga Penolong Ketua Kontinjen sukan kriket dan sofbol, Kennedy Chukpai Ugon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Mu’Azamir Jili serta tetamu lain. - EDISI UKAS