Perkhidmatan Awam Sarawak Perlu Terima Teguran Rakyat Demi Tambah Baik Sistem Penyampaian
KUCHING: Perkhidmatan awam Sarawak perlu melihat maklum balas dan teguran rakyat sebagai peluang untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pentadbiran yang berintegriti bukanlah pentadbiran yang tidak pernah melakukan kesilapan, sebaliknya bersedia menerima teguran, bertindak secara telus dan melakukan penambahbaikan secara berterusan.
"Kejayaan pentadbiran kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar atau prosedur yang diwujudkan, tetapi melalui pengalaman rakyat dalam menerima perkhidmatan yang cepat, adil, berkualiti dan boleh dipercayai.
"Apabila rakyat yakin terhadap penyampaian kerajaan, keyakinan terhadap institusi awam akan terus diperkukuh," katanya ketika berucap semasa Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Tambahnya, Ombudsman Sarawak turut ditubuhkan untuk memastikan keluh-kesah rakyat terus didengar melalui saluran yang teratur dan bebas sekali gus membantu mengenal pasti kelemahan sistem, mengemukakan cadangan penambahbaikan serta memperkukuh akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, peranan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) amat penting dalam memastikan budaya integriti terus diperkukuh dalam perkhidmatan awam.
Menurutnya, CeIO berperanan sebagai penggerak atau ejen kepada pembudayaan integriti dalam organisasi dan pemudah cara, selain membantu memperkukuh pematuhan, tadbir urus serta pengurusan risiko.
Justeru, beliau menggesa agar setiap ketua jabatan perlu memberikan sokongan yang sewajarnya kepada CeIO agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan berkesan.
"Perkhidmatan awam yang berintegriti hanya dapat diwujudkan apabila setiap warga perkhidmatan memahami bahawa amanah yang dipikul adalah untuk rakyat," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & Shahril Haqim