Integriti Perlu Dipupuk Dari Rumah, Diperkukuh Di Sekolah & Diamalkan Dalam Komuniti
KUCHING: Budaya integriti perlu dipupuk sejak dari rumah, diperkukuh melalui pendidikan dan seterusnya diamalkan dalam komuniti bagi membentuk masyarakat yang menjadi asas kepada kemakmuran Sarawak yang mampan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti tidak seharusnya hanya tertumpu dalam organisasi kerajaan, sebaliknya perlu menjadi nilai yang hidup dalam masyarakat.
"Kita mahu integriti menjadi budaya yang bermula di rumah, diperkukuh di sekolah dan diamalkan dalam komuniti.
"Apabila nilai ini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian rakyat, kita bukan sahaja membina pentadbiran yang lebih baik, tetapi juga membentuk masyarakat yang menjadi asas kepada kemakmuran Sarawak yang mampan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam dalam Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, keluarga merupakan asas pertama dalam membentuk nilai dan peribadi seseorang menerusi penerapan nilai kejujuran, amanah, disiplin dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Tambahnya, nilai tersebut kemudiannya perlu diperkukuh melalui pendidikan kerana sekolah bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah berperanan membentuk sahsiah, jati diri serta keupayaan generasi muda membuat keputusan berdasarkan nilai yang kukuh.
Sehubungan itu, beliau menyokong inisiatif Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dalam penubuhan Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS), termasuk pewujudan Modul KRIS dalam memperkenalkan nilai integriti secara lebih tersusun kepada generasi muda.
Beliau turut menekankan kepentingan pembudayaan integriti di peringkat komuniti dengan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam memastikan nilai amanah, ketelusan dan tanggungjawab diterapkan dalam pengurusan masyarakat.
"Melalui pelaksanaan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM), Kerajaan Sarawak terus memperkasa pemimpin akar umbi dengan pengetahuan berkaitan integriti, tadbir urus dan pengurusan amanah agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan serta menjadi contoh kepada masyarakat," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & Shahril Haqim