Integriti Perlu Jadi Amalan Bersama Untuk Bina Sarawak Maju & Makmur
KUCHING: Integriti perlu dijadikan amalan dan nilai bersama oleh seluruh rakyat termasuk penjawat awam, sektor swasta serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan Sarawak terus maju, berdaya saing dan diyakini rakyat serta pelabur.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak dikurniakan pelbagai potensi dan sumber yang menjadi asas kepada pembangunan negeri.
Namun jelasnya, setiap peluang, hasil negeri, aset awam serta kuasa membuat keputusan merupakan amanah yang perlu diurus dengan penuh tanggungjawab, telus dan berteraskan kepentingan rakyat.
"Tanpa integriti, kemajuan yang dicapai boleh terjejas akibat ketirisan, kelemahan tadbir urus dan hilangnya keyakinan rakyat.
"Sebaliknya, apabila integriti dijadikan asas dalam setiap tindakan, pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, manfaat dapat diagihkan secara saksama dan kemakmuran dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.
Tambahnya, bertemakan 'Integriti Teras Kemakmuran Sarawak', sambutan tersebut mengajak seluruh rakyat, penjawat awam, sektor swasta serta pihak berkepentingan untuk bersama-sama memperkukuh budaya integriti dalam setiap tindakan dan keputusan.
Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, ukuran sebenar kemakmuran Sarawak bukan sekadar berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau jumlah pembangunan yang dicapai, tetapi sejauh mana hasil kemajuan tersebut dapat dirasai oleh rakyat.
Justeru tegasnya, setiap lapisan masyarakat bandar mahupun luar bandar perlu menikmati perkhidmatan berkualiti, peluang yang adil serta pembangunan yang inklusif.
"Kemakmuran yang sebenar ialah kemakmuran yang merangkumi semua lapisan masyarakat termasuk komuniti luar bandar, kawasan pedalaman, golongan rentan, belia, wanita, serta generasi akan datang.
"Oleh itu, setiap peruntukan, bantuan dan peluang pembangunan mestilah dilaksanakan secara adil, telus, dan berdasarkan keperluan sebenar rakyat," tegas beliau.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta dif-dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & Shahril Haqim