Sarawak Pantau Rapi Keadaan Jerebu, Belum Rancang Pembenihan Awan
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang memantau rapi keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negeri ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 100, khususnya di bahagian selatan Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, keadaan jerebu yang berlaku ketika ini dipercayai berpunca dari Kalimantan Barat sebelum dibawa angin ke Sarawak dengan bacaan IPU di beberapa kawasan seperti Kuching, Samarahan, Tebedu, Sibu dan Sri Aman menunjukkan keadaan tidak sihat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berjaga-jaga dan mengurangkan aktiviti luar berikutan keadaan kualiti udara yang kurang sihat.
"Oleh sebab itulah kita nasihatkan untuk yang menjalankan aktiviti di luar supaya berjaga-jaga kerana kita sudah dalam keadaan yang kurang sihat.
"Sebab itu kita menyarankan supaya terutamanya para pelajar tidak menjalankan aktiviti di luar," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.
Mengulas mengenai kemungkinan pelaksanaan pembenihan awan, Datuk Len memberitahu, langkah berkenaan belum dirancang buat masa ini kerana pihaknya masih menilai perkembangan keadaan cuaca dan bacaan IPU sepanjang minggu ini.
Menurutnya, berdasarkan ramalan cuaca, terdapat kemungkinan hujan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang, sekitar Jumaat atau Sabtu, yang diharapkan dapat membantu meredakan keadaan jerebu.
Justeru katanya, pihaknya akan terus memantau bacaan IPU setiap jam namun belum menetapkan sebarang keputusan untuk melaksanakan pembenihan awan sekiranya tiada hujan sehingga Ahad.
Ketika ditanya mengenai kriteria untuk membolehkan pembenihan awan dilaksanakan, Datuk Len menyatakan ia hanya dilaksanakan apabila bacaan IPU dalam tahap berbahaya.
Beliau mengesyorkan pihak berkaitan sedang membuat persiapan sewajarnya dan berharap keadaan tidak mencapai tahap tersebut.
“Kalau di Pontianak, bacaan sudah sampai bacaan IPU 300, tapi secara peribadi, saya tidak fikir ia akan mencapai ke tahap itu setakat ini,” katanya. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery