Sejahtera MADANI Bantu Sembilan Penerima Jana Pendapatan
BINTULU: Seramai sembilan individu menerima peralatan menerusi Program Sejahtera MADANI bagi membantu mengembangkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan secara berterusan.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perdana Menteri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM), Mohammad Dzulkiflie Pathi berkata, bantuan berkenaan disasarkan untuk membantu penerima membina keupayaan sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dalam jangka panjang.
Menurutnya, penerima perlu memanfaatkan peralatan yang disalurkan untuk mengembangkan aktiviti masing-masing dan meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Hasrat utama kita adalah untuk membina kemahiran dan keupayaan penerima agar mampu berdikari dalam jangka masa yang panjang.
“Maksudnya bukan hari ini terus kita berhenti, namun kita nak sambung peningkatan pendapatan, dapat upah dan sebagainya untuk kita hidup.
“Ini adalah salah satu cara untuk kita meningkatkan pendapatan kita, untuk bersaing dengan orang-orang di luar sana,” katanya ketika berucap dalam Program Sejahtera MADANI: Fokus Peningkatan Pendapatan 2026 di Dewan Suarah Bintulu, pada Rabu.
Program berkenaan melibatkan penerima dalam pelbagai bidang termasuk jahitan, perniagaan, perikanan, kraf tangan dan pertanian.
Mohammad Dzulkiflie berkata, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan tiada rakyat tercicir, selain memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Beliau memberitahu, kerjasama antara agensi kerajaan, pejabat daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan memberi impak berterusan kepada penerima.
Katanya, kejayaan program itu bukan hanya diukur melalui jumlah bantuan yang disampaikan, tetapi keupayaan penerima menggunakan peralatan berkenaan untuk meningkatkan pendapatan.-EDISI UKAS