Perlumbaan Bot Laju Kembali Meriahkan Pesta Meradong 2026
BINTANGOR: Perlumbaan bot laju kembali menjadi antara tarikan utama Pesta Meradong 2026 yang dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran, sekali gus menyemarakkan lagi acara tahunan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, perlumbaan bot berkuasa tinggi itu sentiasa mendapat perhatian masyarakat dan menjadi antara acara yang dinanti-nantikan setiap kali Pesta Meradong dianjurkan.
Menurutnya, penganjuran tahun ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti lain bagi menarik kehadiran masyarakat setempat serta pengunjung dari kawasan sekitar.
“Saya amat berbesar hati kerana pada tahun ini, selain aktiviti dan acara yang biasa diadakan, kita turut menampilkan perlumbaan bot berkuasa tinggi. Acara ini menjadi antara tarikan orang ramai setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Jelajah Project of Dreams Realized Roadshow (Pro-DR) 2026 Meradong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung, di sini, pada Rabu.
Datuk Ding berkata, gerai jualan sempena Pesta Meradong akan mula beroperasi pada 24 Ogos, manakala majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat Meradong dan kawasan sekitar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan pesta berkenaan.
“Saya berharap masyarakat Meradong dan kawasan sekitarnya dapat datang dan memberi sokongan kepada Pesta Meradong supaya penganjuran ini dapat mencapai kejayaan,” katanya.
Pesta Meradong yang dahulunya dikenali sebagai Pesta Limau dan Bintangor turut menjadi platform mengetengahkan potensi Bintangor, khususnya dalam sektor agropelancongan, selain membuka peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan mempromosikan produk serta menjana pendapatan.- EDISI UKAS