Sarawak Perluas Agenda Pembangunan Mesra Kanak-Kanak Ke Luar Bandar
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kesejahteraan kanak-kanak dengan memastikan aspek kebajikan, perlindungan, penyertaan dan pembangunan mereka diberi perhatian dalam perancangan serta pelaksanaan dasar di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, komitmen itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat sebagai asas kemajuan Sarawak.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan UNICEF Malaysia bagi memperkasakan dasar, sistem dan program berkaitan hak kanak-kanak berasaskan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini turut memastikan suara kanak-kanak didengari dan kepentingan terbaik mereka terus menjadi teras dalam dasar, program serta inisiatif komuniti di Sarawak.
“Kanak-kanak bukan sahaja perlu dilindungi, malah perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UNICEF Malaysia dan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) bagi pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI), di sini, pada Rabu.
Menurutnya, penyertaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dalam kerjasama berkenaan merupakan perkembangan penting dalam usaha memperluas pendekatan mesra kanak-kanak ke kawasan luar bandar menerusi pelaksanaan Inisiatif Pekan Mesra Kanak-Kanak (CFTI).
Katanya, inisiatif tersebut melengkapi pelaksanaan CFCI yang diperkenalkan di kawasan bandar, sekali gus memastikan agenda pembangunan mesra kanak-kanak turut memberi manfaat kepada komuniti di pekan kecil dan kawasan luar bandar.
“Kanak-kanak di kawasan luar bandar berhak mendapat peluang yang sama seperti kanak-kanak di pusat bandar untuk membesar dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan menyokong perkembangan mereka,” jelasnya.
Dato Sri Fatimah berkata, MoU berkenaan diyakini menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi demi kesejahteraan kanak-kanak di Sarawak.
Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah Rahman Bujang Seli, wakil UNICEF ke Malaysia Robert Gass dan Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Kaunselor Aini Suhaili.- EDISI UKAS