Program Makmal Pelajar Digital Inisiatif Rapatkan Jurang Digital Di Kawasan Luar Bandar
KAPIT: Kementerian Digital telah menjalinkan kerjasama dengan Alibaba Cloud dengan melancarkan Program Makmal Pelajar Digital dalam usaha merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar dan memupuk bakat digital di Sarawak.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata program ini bertujuan untuk mengatasi cabaran pendidikan sains dan teknologi yang terhad di sekolah menengah di kawasan terpencil di Malaysia dengan menyediakan infrastruktur IT yang lebih baik, pemerkasaan awan dan latihan digital.
Menurutnya, usaha ini secara langsung menyokong matlamat kerajaan untuk melatih bakat masa depan dan menghasilkan tenaga kerja yang mahir untuk berjaya dalam ekonomi digital.
“Teras kepada Program Makmal Pelajar Digital ini adalah komputer awan canggih Alibaba Cloud yang disediakan untuk pelajar di Kapit, Sarawak.
“Berbeza dengan komputer tradisional, komputer awan membolehkan pengurusan sumber secara berpusat, menjadikan ilmu mengenai AI dan teknologi kepada pelajar di kawasan luar bandar dan terpencil lebih berkesan dan lancar, tanpa mengira lokasi.”
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Jelajah Komuniti Digital di Dewan Makan SMK Kapit pada Sabtu.
Menurutnya, program ini berfokus pada usaha dari pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengetahuan ICT, teknologi baru, dan aktiviti perkhidmatan komuniti bagi masyarakat pedalaman.
Katanya, ia sejajar dengan hasrat kementerian yang bertujuan untuk mengangkat agenda pendigitalan negara dan mempersiapkan masyarakat agar celik di dalam bidang digital atau mempunyai “digital first” mindset.
“Program-program seperti ini memainkan peranan penting dalam membawa pendidikan digital kepada komuniti luar bandar dan memperkasakan mereka seiring dengan kemajuan teknologi,” tambah beliau lagi.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu berkata pihaknya turut melancarkan Program yang dinamakan sebagai Junior Award School Scheme (JASS).
Menurutnya, ini merupakan sebuah program Anugerah yang bertaraf antarabangsa dan kini disertai oleh 45 buah negara di seluruh dunia.
“Program Persijilan Antarabangsa ini merupakan satu pengiktirafan yang sangat besar untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, di mana pelajar memperolehi pengiktirafan daripada United Kingdom dan juga markah PAJSK dari KPM untuk aktiviti kokorikulum mereka.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada 10 buah sekolah rendah di bahagian kapit yang turut terlibat sama di dalam program ini,” dedahnya.
Antara pengisian Program Jelajah Komuniti Digital adalah senaman pagi dan kuiz bersama pelajar sekolah dari semua bahagian di Kapit.
Selain itu, turut diadakan penyampaian hadiah kuiz dan penyampaian sumbangan Kementerian Digital Malaysia yang telah ditaja oleh Alibaba Cloud kepada sekolah-sekolah menengah di bahagian Kapit. - EDISI UKAS