Terbang Dari Serian Demi Anak, Pengorbanan Keluarga Affiennia 'Berbuah' Emas
SELANGOR: Sanggup terbang jauh dari Serian ke Subang demi menyaksikan sendiri perjuangan anak di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, pengorbanan ibu bapa penembak Sarawak, Affiennia Norolyn Howard Fadd akhirnya terbalas apabila anak mereka membantu skuad negeri meraih pingat emas, hari ini.
Detik penuh bermakna itu menyaksikan kedua-dua ibu bapanya, Howard Fadd dan Caroline yang hadir memberikan sokongan moral secara berdepan di Lapang Sasar Negara Subang, selain menjadi saksi kepada kejayaan Affiennia bersama rakan sepasukan mengharumkan nama Sarawak.
Bagi Howard, kejayaan tersebut amat bermakna kerana perjalanan Affiennia dalam sukan menembak bukanlah sesuatu yang mudah apabila anaknya perlu mengimbangi komitmen latihan intensif dengan tuntutan akademik.
Menurut beliau, Affiennia terpaksa menguruskan masa dengan sebaiknya, terutama ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengikuti kelas Tingkatan Enam.
Malah, Affiennia pernah terpaksa mengorbankan kelas tambahan bagi menghadiri sesi latihan menembak, namun pengorbanan tersebut tidak menghalang beliau daripada terus mengejar impian dalam sukan berkenaan.
Howard turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih yang sentiasa memberikan kepercayaan kepada Affiennia untuk menggalas cabaran Sarawak di pentas SUKMA.
Sementara itu, Caroline menyifatkan kejayaan anaknya sebagai satu detik yang cukup menggembirakan dan mengharukan selepas menyaksikan sendiri segala usaha serta dedikasi yang dicurahkan Affiennia bersama rakan sepasukan.
Kongsinya, kejayaan meraih pingat emas tersebut menjadi bukti bahawa segala penat lelah dan cabaran yang dilalui sebelum ini akhirnya membuahkan hasil.-EDISI UKAS