Beza 0.01 Meter, Maritza Ferrer 'Cengkam' Perak Lompat Kijang
SELANGOR: Hanya 0.01 meter memisahkan podium, namun atlet Sarawak, Maritza Ferrer Anak Neil Armstrong berjaya memastikan pingat perak menjadi milik Bumi Kenyalang selepas melakukan lompatan terbaik 11.92 meter dalam acara Lompat Kijang Wanita Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Rabu.
Beraksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Maritza mempamerkan ketenangan dan konsistensi untuk bangkit selepas percubaan pertamanya dibatalkan.
Beliau mencatat 11.78m pada percubaan kedua dan 11.57m pada percubaan ketiga sebelum melonjak sejauh 11.92m pada percubaan keempat yang menjadi catatan terbaiknya.
Maritza terus memberi tekanan menerusi lompatan 11.89m pada percubaan kelima sebelum percubaan keenam dan terakhirnya dibatalkan.
Pingat emas menjadi milik wakil Kelantan, Alia Batrisya Nasaruddin yang mencatat 12.50m, manakala atlet Perak, Farah Syakira Azifsafarin meraih gangsa dengan catatan 11.91m, hanya 0.01m di belakang Maritza.
Sementara itu, seorang lagi wakil Sarawak, Joanna Sangster nyaris menambah satu lagi pingat apabila menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan terbaik 11.50m.
Joanna membuka saingan dengan lompatan 11.50m pada percubaan pertama sebelum tiga percubaan berikutnya dibatalkan.
Beliau kembali menghasilkan lompatan sah sejauh 11.38m pada percubaan kelima sebelum tetap meneruskan cabaran pada percubaan terakhir dengan catatan 11.35m meskipun mengalami sedikit kecederaan selepas lompatan sebelumnya.-EDISI UKAS