RM285,000 Diperuntuk kepada Tiga JKKK di Batang Ai
LUBOK ANTU: Sejumlah RM285,000 diperuntukkan di bawah beberapa saluran dana termasuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Nyato Atas, Nyato Baruh dan Rumah Norman semasa Program Bersama Komuniti Batang Ai 2026.
Peruntukan berkenaan melibatkan JKKK Nyato Atas sebanyak RM125,000, manakala JKKK Nyato Baruh menerima RM110,000 serta JKKK Rumah Norman menerima RM50,000.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, kestabilan politik amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan, penyampaian kemudahan asas serta pelaksanaan projek untuk rakyat di kawasan Batang Ai secara berterusan.
Menurut beliau, komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar perlu disokong dengan kerjasama pemimpin masyarakat dan penduduk bagi memastikan keperluan setempat dapat dikenal pasti serta diberi perhatian mengikut keutamaan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau berkata, Program Bersama Komuniti Batang Ai merupakan program kali kelapan yang dianjurkan sebagai pendekatan untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, sepanjang program, seramai 226 orang mendapatkan perkhidmatan SarawakPass, manakala pendaftaran lesen anjing turut dilaksanakan melibatkan 165 anjing. -EDISI UKAS