SUKMA XXII: Elvis Priestly Hadiah Gangsa 3m Papan Anjal Lelaki
SELANGOR: Penerjun Sarawak, Elvis Priestly Anak Clement menghadiahkan pingat gangsa buat Bumi Kenyalang selepas menamatkan saingan di tempat ketiga acara 3 meter (m) papan anjal lelaki dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Rabu.
Dalam aksi final yang berlangsung di Akuatik Selangor, Elvis mengumpul 368.30 mata menerusi enam terjunan untuk memastikan dirinya berada di podium.
Seorang lagi wakil Sarawak, Awang Sharzan pula menamatkan cabaran di kedudukan keenam dengan kutipan keseluruhan 318.50 mata.
Elvis memulakan saingan dengan 63.00 mata pada terjunan pertama sebelum mengumpul jumlah sama pada terjunan kedua untuk menjadikan keseluruhan 126.00 mata.
Beliau kemudian mengumpul 62.00 mata pada terjunan ketiga sebelum memperoleh 52.50 mata pada terjunan keempat.
Penerjun Sarawak itu kembali memperkemas aksinya menerusi terjunan kelima dengan 61.50 mata sebelum menutup saingan dengan 66.30 mata pada terjunan keenam, sekali gus mengesahkan kutipan keseluruhan 368.30 mata dan pingat gangsa.
Pingat emas acara berkenaan menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Yong Rui Jie yang mencatat 391.85 mata, manakala penerjun Selangor, Muhammad Haris meraih perak dengan 387.45 mata.
Kejayaan meraih gangsa kali ini menyaksikan Elvis gagal mempertahankan emas yang dimenanginya pada SUKMA Sarawak 2024, apabila ketika itu beliau muncul juara acara sama dengan kutipan 415.15 mata.-EDISI UKAS