JKKK Jadi Penghubung Penting Tangani Isu Masyarakat Setempat
MATU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan aktif sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan bagi memastikan isu dan keperluan penduduk di peringkat akar umbi dapat dikenal pasti serta diberi perhatian sewajarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, peranan JKKK amat penting kerana mereka lebih dekat dengan keadaan dan keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
“JKKK perlu sentiasa mengetahui keadaan semasa di kawasan masing-masing serta memastikan kampung sentiasa terjaga, selamat dan terkawal,” katanya ketika mengadakan sesi perjumpaan bersama JKKK Sekaan Besar Matu di Dewan Majlis Daerah Matu dan Daro, di sini, pada Selasa.
Sesi berkenaan melibatkan enam JKKK, iaitu JKKK Kampung Muut, Kampung Dagang, Kampung Masjid, Kampung Treng, Kampung Pasar Lama Cina dan Kampung Pasar Baru Cina.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi wakil rakyat dan pemimpin akar umbi bertukar pandangan, berkongsi maklumat serta membincangkan perkembangan dan keperluan masyarakat setempat.
Datuk Dr Juanda menambah, komunikasi dan kerjasama berterusan antara wakil rakyat dengan pemimpin akar umbi penting bagi memastikan maklumat berkaitan keperluan penduduk dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Beliau dalam pada itu turut menggalakkan JKKK untuk terus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kerajaan kepada masyarakat serta membantu mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian dan tindakan.
Turut hadir Pemanca Daerah Matu Mesaleh@Che Jeni Shahdan. -EDISI UKAS