Pengorbanan Masa & Sokongan Keluarga Bawa Kaira Ramadhani Raih Emas
SELANGOR: Pengorbanan masa, komitmen terhadap latihan serta sokongan keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila penembak wanita Sarawak, Kaira Ramadhani Azman membantu skuad negeri meraih pingat emas acara 50m Rifle Prone Berpasukan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini.
Beraksi di Lapang Sasar Negara Subang, Kaira bersama rakan sepasukan, Melisa Mike Snyut dan Affiennia Norolyn berjaya mengumpul 1,815.4 mata keseluruhan untuk menghadiahkan emas berharga buat Kontinjen Sarawak.
Sementara itu, ibu Kaira, Siti Khatijah Bohari berkata, penglibatan anaknya dalam sukan menembak bermula sejak kecil apabila minat terhadap sukan tersebut sudah terserlah sejak usia muda.
"Kaira memang ada potensi dalam menembak sejak kecil. Beliau suka bermain permainan yang berkaitan dengan pistol dan senapang.
"Jadi bila ada ujian pemilihan pencarian bakat baharu, kami terus hantar beliau dan tak sangka terus terpilih," katanya.
Beraksi pada temasya SUKMA buat kali kedua, perjalanan Kaira kali ini hadir dengan cabaran tersendiri apabila perlu membahagikan masa antara tuntutan akademik sebagai penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan latihan intensif.
Siti Khatijah berkongsi, jadual harian Kaira yang padat memerlukan pengorbanan masa, termasuk mengehadkan aktiviti sosial bagi memastikan fokusnya terhadap latihan dan pertandingan tidak terjejas.
"Dari segi masa memang ada cabaran sedikit sebab beliau belajar di UiTM. Jadualnya amat padat, kena ulang-alik dari UiTM ke lapang tembak, kemudian balik ke rumah.
"Memang tiada masa untuk kumpul atau bermain dengan kawan-kawan. Oleh itu, kami sekeluarga sentiasa bagi sokongan emosi dan mental semampu yang boleh," jelasnya lagi.
Sementara itu, abangnya, Ahmad Zahid Azman meluahkan rasa bangga terhadap kesungguhan Kaira sehingga berjaya mengharumkan nama Sarawak di pentas SUKMA.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi batu loncatan kepada Kaira untuk melangkah lebih jauh dan mewakili negara pada kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA dan Sukan Asia pada masa hadapan.-EDISI UKAS