Skuad Menembak Buktikan ‘Killer Instinct’, Sumbang Dua Emas
SELANGOR: Skuad menembak Sarawak membuktikan ‘killer instinct’ apabila menyumbang dua pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Selasa sekali gus menyuntik semangat baharu kepada Kontinjen Sarawak untuk terus memburu kejayaan dalam saingan yang masih berbaki.
Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu menzahirkan rasa bangga dan gembira dengan prestasi cemerlang atlet menembak negeri yang kekal fokus serta berani ketika berdepan saingan sengit.
Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil persiapan rapi serta mentaliti kemenangan yang diterapkan oleh barisan jurulatih dan pengurusan pasukan.
"Hari ini kita dapat dua emas dan semalam kita sudah dapat satu. Kita sangat bangga kerana dari segi persiapan memang kita dah ada, tetapi fokus daripada pasukan dan jurulatih menunjukkan keputusan yang sangat positif.
"Mengambil kata-kata semangat daripada Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, kita mesti ada 'killer instinct'.
"Atlet wanita kita membuktikannya hari ini dan sebab itulah kita berjaya merampas emas," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian pingat di Lapang Sasar Negara Subang, di sini.
Beliau menambah, pencapaian skuad menembak turut memberi keyakinan kepada Kontinjen Sarawak untuk memperbaiki kedudukan dalam pungutan pingat dan mencabar kedudukan teratas.
"Kalau ditanya kedudukan sekarang, sebelum tangga ketiga adalah tangga kedua dan itulah sasaran kita untuk terus melonjak naik. Kita mesti naikkan prestasi kita.
"Persaingan masih panjang dan ada banyak lagi acara yang menawarkan pingat emas. Pasukankita telah diberikan motivasi dan sokongan penuh untuk terus berjuang," tambah beliau.-EDISI UKA