SUKMA XXII: Skuad Tenpin Boling Sarawak Optimis Buru Pingat
SELANGOR: Skuad tenpin boling Sarawak optimis mampu menghadirkan cabaran dalam baki saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan beberapa acara dilihat berpotensi menyumbang pingat buat Bumi Kenyalang.
Jurulatih tenpin boling Sarawak, Angelo Koay Ghee Lye berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan anak-anak buahnya setakat ini, khususnya barisan atlet lelaki yang menunjukkan kekuatan serta kemampuan bersaing dengan baik.
“Secara keseluruhannya mereka bermain dengan sangat baik. Pasukan lelaki khususnya menunjukkan kekuatan yang baik,” katanya ketika ditemui UKAS selepas saingan tenpin boling di Sunway Megalanes pada Selasa.
Angelo menambah, antara perkembangan positif ialah kemampuan atlet mendapatkan rentak permainan serta melakukan penyesuaian ketika berdepan perubahan keadaan lorong.
Katanya, keupayaan membaca keadaan lorong, mengekalkan ketenangan serta melaksanakan strategi yang dirancang menjadi aspek penting untuk terus memberikan saingan kepada kontinjen lain.
“Saya sangat gembira apabila mereka mula mendapat rentak. Mereka dapat melihat apa yang perlu dilakukan dan kemudian menunjukkan permainan yang mereka mahukan,” katanya.
Mengulas baki saingan, Angelo berkata Sarawak akan terus memberikan tumpuan kepada setiap acara yang disertai dengan sasaran untuk menghadirkan peluang terbaik memburu pingat.
“Kita akan cuba dalam semua acara. Dalam setiap acara, kita berharap mempunyai sekurang-kurangnya satu atau dua peluang yang kuat untuk mendapatkan pingat,” ujarnya.
Beliau pada masa sama mahu barisan atlet kekal fokus terhadap permainan masing-masing dan melaksanakan strategi yang telah dirancang tanpa memberikan tekanan berlebihan kepada diri sendiri.