UKAS, SAIC Perkukuh Kerjasama Strategik Teroka Potensi AI Perkasa Komunikasi Awam
KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) bagi meneroka penggunaan AI dalam memperkasakan bidang komunikasi awam.
Hasrat itu disuarakan menerusi kunjungan hormat UKAS yang diketuai oleh Timbalan Pengarah 1 Mohamed Faizal Shah Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif SAIC Profesor Dr Patrick Then di Pejabat SAIC, Kompleks UNIFOR, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah 2 UKAS Joachim Paggang Jabong serta pegawai-pegawai kanan UKAS.
Dalam pertemuan itu, SAIC berkongsi peranannya termasuk dalam usaha membangunkan infrastruktur AI yang dipercayai, memupuk bakat tempatan, melindungi pemilikan data serta menyediakan penyelesaian AI yang dapat meningkatkan tadbir urus, penyampaian perkhidmatan awam dan keselamatan.
SAIC turut mengetengahkan beberapa bidang tumpuan merangkumi pembangunan infrastruktur dan kawalan data, kebergantungan teknologi, penjajaran budaya dan etika, selain usaha menjadikan AI sebagai aset strategik yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta kedaulatan teknologi Sarawak.
Sehubungan itu, kedua-dua pihak juga membincangkan cadangan penganjuran bengkel AI khusus kepada warga UKAS bagi meningkatkan kefahaman serta keupayaan dalam mengenal pasti dan menggunakan teknologi AI mengikut keperluan organisasi.
Bengkel tersebut dijangka membuka ruang kepada UKAS untuk mengenal pasti aplikasi AI yang bersesuaian, termasuk potensi memanfaatkan Agentic AI bagi membantu melaksanakan tugasan tertentu secara lebih pintar dan sistematik dalam ekosistem komunikasi awam.
Kerjasama itu juga akan memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran dan keupayaan kedua-dua organisasi dalam meneroka penyelesaian berasaskan AI yang praktikal serta mampu memberi nilai tambah kepada operasi dan penyampaian komunikasi kerajaan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira Jalil
Foto: George Embie