Penantian 6 Tahun Lebur, Sarawak Kaut Emas Sulung E-sukan
SELANGOR: Penantian selama enam tahun skuad e-sukan Sarawak untuk merangkul emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir di bumi Selangor.
Ia susulan kejayaan memenangi acara endurance pada aksi final SUKMA XXII Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ di sini hari ini.
Presiden Persatuan Esport Sarawak, Afiq Fadhli Narawi yang dihubungi menyifatkan kemenangan tersebut sebagai detik bersejarah dalam arena e-sukan Sarawak.
"Selepas tiga edisi SUKMA memperlihatkan saingan e-sukan, akhirnya kami berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama.
"Saya amat bangga dengan para atlet, jurulatih, dan pengurus pasukan kami yang kekal komited dan terus berusaha gigih walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang perjalanan ini.
"Kerja keras, pengorbanan, dan keyakinan mereka telah merealisasikan kejayaan ini," katanya.
Menurut beliau, pingat emas itu bukan sahaja milik Sarawak, sebaliknya untuk semua pihak yang banyak berkorban dalam membangunkan sukan itu di Bumi Kenyalang.
Tegasnya, kemenangan itu membuktikan bahawa Sarawak mampu bersaing, bertahan, dan bangkit sebagai juara.
"Bagi pihak Persatuan Esports Sarawak, saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak, dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak atas kepercayaan serta sokongan berterusan terhadap pembangunan atlet dan e-sukan di Sarawak," katanya. - EDISI UKAS