UKAS Komited Turun Padang Sampaikan Inisiatif Premier Sarawak Kepada Golongan Sasar
KANOWIT: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh peranannya sebagai penghubung antara Kerajaan Sarawak dengan masyarakat bagi memastikan pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg disampaikan kepada golongan sasar di peringkat akar umbi.
Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali berkata, peranan UKAS adalah untuk membantu menterjemahkan pengumuman kerajaan negeri menerusi pelbagai program dan pendekatan turun padang supaya impaknya dapat dirasai secara langsung oleh golongan sasar, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program-program yang kita anjurkan semuanya ada objektif dan tujuan masing-masing, menjurus kepada apa yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak.
“Inisiatif-inisiatif yang ada, kita bawa terus kepada golongan sasar kita,” katanya ketika berucap mewakili Pengarah UKAS pada majlis perasmian Program Hari Bersama Komuniti @Ngemah 2026 di Rumah Taboh Rimau, Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Ngungun, di sini pada Sabtu.
Program yang berlangsung dari 21 hingga 22 Ogos itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana.
Menurut Mohamed Faizal, UKAS turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat menerusi program berkenaan.
Katanya, pendekatan menghimpunkan pelbagai agensi di satu lokasi memudahkan rakyat mendapatkan khidmat nasihat, mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan serta berinteraksi secara langsung dengan pegawai bertugas.
“Program sebegini memudahkan masyarakat dan rakyat untuk mendapatkan khidmat nasihat, melihat apa yang ditawarkan dan bersoal jawab secara terus dengan pegawai-pegawai yang ada,” ujarnya.
Program Hari Bersama Komuniti @Ngemah 2026 di Rumah Taboh Rimau dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, antaranya pertandingan karaoke Tuai Rumah, sukaneka, pertandingan mewarna untuk warga emas, Kuiz Kenegaraan, sesi ceramah oleh pihak polis dan Jabatan Pertanian serta cabutan nombor bertuah.
Program turut menampilkan persembahan artis jemputan, Phoebe Chloe dan Rem Jana, selain penampilan istimewa artis UKAS, Firdaus Materang.
Selain itu, sebanyak 11 reruai pameran dan kaunter daripada pelbagai agensi kerajaan turut disediakan bagi memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara langsung.
Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Kanowit, Harmon Gilbert Sinju dan Ketua Masyarakat Iban Daerah Kanowit, Pemanca Charlie Salang. -EDISI UKAS