Skuad Wushu Sarawak Akan Buat Persiapan Awal Hadapi SUKMA 2028
SHAH ALAM: Skuad wushu Sarawak akan membuat persiapan awal untuk menghadapi kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang akan diadakan di Kelantan.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) skuad wushu Sarawak, Allen Wong Siew Poh berkata, latihan tersebut akan bermula sebaik berakhir SUKMA XXII Selangor 2026.
“Kita aklan mulakan program latihan kita sebaik sahaja SUKMA ini berakhir.
“SUKMA seterusnya di Kelantan, saya yakin kita boleh beraksi dengan lebih baik berbanding di sini sebab tiga jurulatih yang kita ambil ini sangat bagus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah UKAS di Pusat Konvensyen IDCC Ideal di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden Persekutuan Wushu Sarawak turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana membina pusat latihan wushu terletak di Petra Jaya.
Menurut beliau, latihan tersebut membolehkan persatuan melaksanakan program pembangunan dan latihan wushu secara berterusan.
Mengulas mengenai pencapaian atlet wushu pada SUKMA XXII Selangor 2026, beliau berkata atlet Sarawak telah berasi dengan baik walaupun kebanyakan daripada mereka masih muda.
“Mereka beraksi dengan baik, dan paling penting atlet kita ramai masih muda, dalam lingkungan 14 hingga 17 tahun.
“Harapan kita mereka akan tampil lebih mantap pada SUKMA seterusnya,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, kem wushu Sarawak menambah satu lagi gangsa menerusi acara Carmen Chaw Jia Min dalam acara Taijiquan & Taijijian Wanita.
Carmen mengumpul keseluruhan 19.109 mata dalam dua disiplin tersebut.
Pingat emas dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Kwang Yong Xin yang mengumpul 19.162 mata manakala atlet Pulau Pinang, Ng Jia Wen meraih perak dengan mengumpul 19.152 mata.
Setakat ini, Sarawak telah merangkul satu emas, satu perak dan tiga gangsa dalam sukan wushu yang akan melabuhkan tirainya hari ini. - EDISI UKAS