Mukah Raft Safari Berpotensi Jadi Produk Ekopelancongan, Pacu Ekonomi Komuniti
MUKAH: Mukah Raft Safari Siri Ke-2 2026 berpotensi dikembangkan sebagai salah satu produk ekopelancongan baharu yang menggabungkan aktiviti rekreasi, keindahan alam semula jadi dan peluang ekonomi komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran acara berkenaan mampu memperkenalkan potensi alam semula jadi Mukah kepada peserta dan pengunjung dari pelbagai kawasan.
Menurutnya, kehadiran peserta bukan sahaja memeriahkan aktiviti sukan dan rekreasi, malah berpotensi memberi la limpahan ekonomi kepada komuniti, khususnya peniaga kecil, pengusaha makanan, penyedia penginapan serta perkhidmatan tempatan.
“Program seperti ini juga mampu menjadi platform untuk mempromosikan keindahan alam semula jadi dan potensi ekopelancongan Mukah,” katanya ketika berucap pada Mukah Raft Safari Siri Ke-2 2026, pada Sabtu.
Beliau berkata, penganjuran secara berterusan dengan penyertaan lebih luas berpotensi menjadikan Mukah Raft Safari sebagai acara tahunan yang mampu menarik peserta dari dalam dan luar Sarawak.
Pada sebelah pagi, Abdul Yakub menyempurnakan acara flag-off yang bermula dari Jeti Kampung Tabo Mukah sebelum peserta menamatkan kayuhan di Jeti Coastal Wharf Mukah, melibatkan jarak sejauh 21 kilometer.
Pertandingan Rakit dibahagikan kepada kategori Agensi Kerajaan, Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka dan Campuran, sekali gus membuka ruang penyertaan kepada pelbagai kelompok masyarakat.
Kategori Agensi Kerajaan menyaksikan VOLSAR Rela Sarawak muncul juara dengan catatan masa tiga jam dua minit 23 saat, diikuti Medic X MRSM dan Mukah Firefighter 1.
Bagi kategori Lelaki Terbuka, 96400 Mukah X HHT P213 (Team B ) muncul juara dengan catatan dua jam 48 minit lapan saat, manakala Belia JKKK Kampung Sau 01 dan 96400 Mukah X HHT P213 (Team A) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Wanita JKKK Kampung Sau menjuarai kategori Wanita Terbuka dengan catatan tiga jam 31 minit 49 saat, diikuti BINDA di tempat kedua dan JKKK Kampung Tabo di tempat ketiga.
Kategori Campuran pula dimenangi Luk Tiwas dengan catatan tiga jam 38 minit 27 saat, manakala River Vibes (IPD Mukah) dan Mukah Firefighter 2 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Selain aktiviti Rakit, program turut mengisi acara komuniti menerusi Pertandingan Mewarna Kategori Kanak-Kanak Lima dan Enam Tahun anjuran KEMAS Bahagian Mukah.
Azra Azzalea Azraei Al-Amin muncul juara pertandingan berkenaan, diikuti Israq Anaqy Masari di tempat kedua dan Dayang Afeeya Aqilla Abang Asrul di tempat ketiga.
Penganjuran pelbagai aktiviti dalam satu acara turut menjadikan Mukah Raft Safari sebagai platform yang menggabungkan rekreasi, komuniti dan promosi destinasi, sekali gus berpotensi memperluas tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi di Bahagian Mukah. -EDISI UKAS