KANOWIT: Projek pembinaan jalan raya sepanjang lapan kilometer (km) yang menghubungkan Nanga Bat ke Nanga Pra kini siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek bernilai kira-kira RM81 juta itu merupakan sebahagian daripada jajaran projek pembinaan jalan dari Nanga Ngungun ke Nanga Jagau.
“Jalan yang di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) ini sudah siap tetapi belum dirasmikan lagi.
“Bagi laluan Nanga Pra ke Nanga Jagau pula, kerja-kerja ukur sudah dijalankan dan kini dalam proses penyesuaian. Jalan itu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti @Ngemah 2026 di Rumah Taboh Rimau, Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Ngungun, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, bagi jajaran Nanga Ngungun ke Nanga Bat sepanjang 4.1 km bernilai RM38 juta, Anyi menjelaskan kerja pembinaan masih belum dapat dimulakan berikutan isu pembayaran pampasan yang belum diselesaikan.
“Jalan ini di bawah KKDW dan sudah ditender pada Februari lalu, tetapi kontraktor belum boleh memulakan projek kerana terdapat beberapa pembayaran yang belum dibuat melibatkan tanah dan tanaman penduduk.
“Apabila pembayaran sudah dibuat, kontraktor boleh memulakan kerja,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, mengikut jadual Jabatan Kerja Raya (JKR), tender bagi laluan dari Nanga Pra ke Nanga Jagau dijangka dibuka hujung tahun 2026.
Manakala, satu lagi jajaran jalan sepanjang kira-kira lapan km dari Nanga Jagau ke kawasan Ulu yang melibatkan 30 rumah panjang kini di bawah seliaan Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA), katanya.
Anyi berkata, apabila kesemua projek jalan raya berkenaan siap sepenuhnya, dianggarkan 85 peratus kawasan Ngemah akan dihubungkan dengan jalan raya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali mewakili Pengarah UKAS, wakil Pegawai Daerah Kanowit, Harmon Gilbert Sinju dan Ketua Masyarakat Iban Daerah Kanowit, Pemanca Charlie Salang. -EDISI UKAS