Dayang Nursharzyra Raih Perak 3m Papan Anjal Individu Wanita
SELANGOR: Penerjun Sarawak, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas kedudukan teratas yang dikuasainya dipintas pada penghujung saingan acara 3 Meter Papan Anjal Individu Wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, pada Ahad.
Dayang Nursharzyra yang juga atlet kebangsaan mengumpul keseluruhan 223.20 mata selepas lima terjunan, hanya 14 mata di belakang wakil tuan rumah, Ayu Syuhaida Khairul yang meraih emas dengan 237.20 mata.
Pingat gangsa pula menjadi milik penerjun Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing dengan 216.10 mata.
Dayang Nursharzyra memulakan saingan dengan baik apabila memperoleh 48.60 mata menerusi terjunan pertama sebelum mencatat 36.00 mata dan 37.80 mata pada terjunan kedua serta ketiga.
Beliau kemudian kembali memperkemaskan kedudukan menerusi 46.80 mata pada terjunan keempat sebelum menghasilkan kutipan terbaiknya, 54.00 mata pada terjunan kelima dan terakhir.
Namun, saingan pada pusingan penentuan menyaksikan Ayu Syuhaida berjaya memintas kedudukan Dayang Nursharzyra untuk mengesahkan emas buat Selangor.
Seorang lagi penerjun Sarawak, Mya Yumna Schakeera turut memberikan saingan apabila menamatkan pertandingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan 192.70 mata. -EDISI UKAS