IKC 2026 Berlangsung November Ini, Perkukuh Peranan Institusi GLAM Dalam Era AI
KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak bakal menganjurkan Persidangan Pengetahuan Antarabangsa atau 'International Knowledge Conference (IKC)' 2026 di The Waterfront Hotel, di sini, dari 23 hingga 26 November depan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, persidangan itu akan menjadi platform antarabangsa bagi membincangkan peranan institusi Galeri, Perpustakaan, Arkib dan Muzium (GLAM) dalam mendepani perkembangan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan teknologi baharu.
"Ini merupakan institusi-institusi yang menangani secara langsung keutamaan global yang kritikal dalam memastikan ilmu yang dipercayai, amalan maklumat beretika, dan kredibiliti institusi kekal menjadi teras sewaktu kecerdasan buatan (AI) merombak cara maklumat dicipta, dikongsi, dan digunakan.
"Acara ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kita, dengan menyokong ekonomi digital yang teguh serta masyarakat berteraskan inovasi yang dibina atas data yang dipercayai, keupayaan ekonomi digital dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab," katanya dalam sidang media IKC 2026 di Menara LCDA, di sini, pada Isnin.
Beliau menambah, persidangan berkenaan akan menghimpunkan penyelidik, pustakawan, arkivis, pekerja pengetahuan, pembuat dasar, ahli akademik dan pelajar bagi membincangkan cabaran serta peluang yang timbul susulan perkembangan pesat teknologi AI.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, antara bidang utama yang akan diberi tumpuan termasuk AI dan automasi, ketulenan dan kepercayaan terhadap rekod digital, arkib digital dan muzium pintar, tadbir urus serta etika data, usaha menangani maklumat palsu, keterangkuman digital, keselamatan siber dan pemeliharaan digital.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua penjawat awam, warga kementerian, dan ketua-ketua jabatan untuk mendaftar dan menghadiri persidangan berkenaan secara aktif.
Jelasnya, penjawat awam yang memproses data negeri dan awam setiap hari bertindak sebagai penggerak barisan hadapan bagi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
"Untuk berjaya bertukar kepada rangka kerja kerajaan pintar, warga kerja kita mestilah meningkatkan kompetensi AI, inklusiviti digital, dan tadbir urus rekod, kemahiran dalam menguruskan rekod bagi menterjemahkan infrastruktur berteknologi tinggi kepada nilai awam yang dipercayai dan proaktif secara berkesan," ujarnya.
Beliau menambah, rakyat Sarawak perlu menjadi pencipta yang aktif dan penilai maklumat digital yang kritikal, bukannya menjadi pengguna pasif kepada alatan AI yang tidak dikawal selia.
Dalam pada itu ujarnya, para peserta akan berinteraksi secara langsung dengan kurikulum berbilang lapisan yang menampilkan 17 pembentangan kertas kerja profesional, 100 pembentangan poster penyelidikan dan 20 pameran teknologi maju yang menyorot penyelesaian inovatif.
Hadir sama semasa sidang media itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli. -EDISI UKAS