RM147,000 Disalur Kepada Komuniti Katibas Demi Keperluan Setempat
SONG: Sebanyak RM147,000 disalurkan kepada komuniti di kawasan Katibas menerusi geran kepada 23 penerima serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ngelambung bagi menyokong keperluan dan pembangunan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, kerjasama antara pemimpin masyarakat, ketua kaum dan agensi kerajaan penting bagi memastikan keperluan komuniti luar bandar dapat dikenal pasti serta ditangani secara berperingkat.
“Pembangunan tidak dapat dilaksanakan dalam sekelip mata. Oleh itu, rakyat perlu bersabar dan terus memberi kerjasama kepada kerajaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ngelambung, Ulu Sungai Ayat, Bangkit Katibas, di sini pada Isnin.
Menurutnya, pendekatan turun padang membolehkan pemimpin dan agensi kerajaan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, selain memahami isu serta keperluan yang dihadapi komuniti di kawasan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Lidam mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih menerusi media sosial kerana perkara itu boleh menjejaskan perpaduan serta mengganggu usaha pembangunan.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas kepada masa depan generasi muda dan memberi jaminan untuk terus menyokong usaha meningkatkan mutu pendidikan di daerah Song.
Pada majlis tersebut, beliau meluluskan peruntukan geran berjumlah RM127,000 kepada 23 penerima, selain RM20,000 kepada JKKK Rumah Ngelambung bagi menyokong keperluan komuniti setempat. -EDISI UKAS