KPWKM Cadang Tambahan Lebih RM168 Juta Perkukuh Bantuan Kumpulan Sasar
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan tambahan peruntukan lebih RM168 juta bagi memperkukuh bantuan kepada wanita dan keluarga termasuk membantu mereka menangani cabaran berkaitan tanggungjawab keluarga dan kebajikan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata tambahan peruntukan itu penting bagi memastikan sokongan lebih menyeluruh dapat disediakan, terutama susulan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja yang perlu mengimbangi tuntutan pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan sokongan bersesuaian tersedia kepada keluarga supaya tanggungjawab penjagaan tidak menjadi halangan kepada wanita untuk terus menyumbang dalam tenaga kerja.
“Kita ada penambahan 168 juta itu tambahan, 168 over million,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Sektor Penjagaan di bawah Belanjawan MADANI 2026 dan Sesi Libat Urus Pembangunan Piawaian Penjagaan Nasional bagi Warga Emas dan OKU di sebuah hotel, di sini, pada Isnin.
Dato Sri Nancy berkata, antara bantuan yang diberi perhatian termasuk sokongan kepada wanita yang telah memperoleh perintah mahkamah berkaitan nafkah anak tetapi berdepan kesukaran mendapatkan bayaran.
Ahli Parlimen Santubong itu menambah, KPWKM turut menyediakan khidmat guaman bagi membantu wanita mendapatkan hak nafkah yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Antara bantuan yang kita berikan adalah kepada wanita yang telah bercerai dan mendapat perintah mahkamah berkaitan nafkah anak. Golongan ini turut kita bantu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy berkata cadangan tambahan peruntukan berkenaan turut mengambil kira usaha memperkukuh kebajikan serta pemerkasaan ekonomi kumpulan sasar KPWKM.
Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar serta bentuk peruntukan tambahan yang akan diterima hanya akan diketahui selepas proses Belanjawan dimuktamadkan.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dato Hanani Sapit, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Masyarakat KPWKM, Asmar Asmadi Abdullah Sani, Pengarah Institut Sosial Malaysia, Norhaslinda Mohd Sibi, serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad. -EDISI UKAS