Kejohanan Powerlifting Nexus Of Power 2026 Platform Cungkil Bakat Angkat Berat Tempatan
KUCHING: Kejohanan ‘Powerlifting Nexus Of Power’ 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Plaza Merdeka menjadi platform mengetengahkan bakat serta keupayaan atlet angkat berat tempatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja mengetengahkan bakat dalam sukan powerlifting, malah memperkukuh perpaduan antara peserta dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Menurut beliau, kejohanan tersebut turut menyumbang kepada pembangunan pelancongan sukan, menggalakkan keterangkuman menerusi penglibatan atlet para serta meningkatkan penyertaan golongan wanita dalam sukan berkenaan.
“Kerajaan Sarawak terus melabur dalam pembangunan kemudahan sukan, termasuk kerja naik taraf Stadium Sarawak yang dijangka siap menjelang Januari 2027 sebagai persediaan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027.
“Sarawak juga akan menjadi lokasi majlis perasmian dan mempertandingkan 17 jenis sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng pada majlis penutupan kejohanan tersebut pada Ahad.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang atas pencapaian masing-masing serta menggalakkan para atlet untuk terus menjalani latihan, meningkatkan prestasi dan terus yakin terhadap kemampuan diri.
Kejohanan yang berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos itu berjaya menarik perhatian pengunjung yang hadir menyaksikan kekuatan dan kemampuan para peserta dalam acara tersebut. -EDISI UKAS