28 Penduduk Rumah Panjang Terima Cermin Mata Percuma
SIBU: Seramai 28 penduduk rumah panjang dari komuniti Rantau Panjang menerima cermin mata percuma bagi membantu memperbaiki penglihatan dan meningkatkan keselesaan mereka dalam kehidupan seharian.
Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie berkata, beliau berbesar hati melihat bantuan pemeriksaan mata yang disediakan menerusi program Pemimpin Bersama Rakyat diteruskan dengan pemberian cermin mata kepada penduduk yang layak.
“Ini merupakan satu bentuk khidmat masyarakat yang sangat praktikal dan kami amat menghargai keprihatinan serta sumbangan berterusan Kelab Lions Sibu Bawang Assan kepada komuniti.
“Kelab Lions bukan sahaja menyediakan pemeriksaan mata percuma kepada penduduk, malah terus membuat tindakan susulan selepas pemeriksaan dan menyediakan cermin mata percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan cermin mata percuma kepada penerima di Rumah Suria Amat, di sini pada Isnin.
Tambah Kaunselor Kevin, program Pemimpin Bersama Rakyat bukan sekadar menjadi platform untuk penduduk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin, tetapi turut membuka ruang kepada pelbagai pertubuhan komuniti dan kumpulan sosial untuk mendekati masyarakat.
“Program ini memberi peluang kepada pelbagai organisasi untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk, memahami keperluan sebenar mereka serta menyediakan bantuan berdasarkan kepakaran dan sumber masing-masing,” katanya.
Sementara itu, pemeriksaan mata percuma berkenaan dijalankan Kelab Lions Sibu Bawang Assan menerusi Projek SightFirst ketika program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran JKKK Jalan Quarry pada penghujung Julai lalu.
Susulan pemeriksaan dan penilaian, seramai 28 penduduk dikenal pasti layak menerima cermin mata percuma sebelum kelab berkenaan menguruskan penyediaannya berdasarkan keputusan pemeriksaan mata masing-masing.-EDISI UKAS