Maulidur Rasul Pemangkin Perpaduan Masyarakat Mukah
MUKAH: Sambutan Maulidur Rasul mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat Mukah yang lebih bersatu, saling menghormati serta hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penghayatan terhadap nilai dan akhlak Rasulullah SAW perlu diteruskan dalam kehidupan seharian bagi memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat.
"Sambutan ini bukan sekadar acara dalam kalendar Islam, sebaliknya wadah untuk menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW serta mencontohi akhlak dan sunnah Baginda dalam kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Malam Kesyukuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Mukah 1448H/2026M di Masjid Setia Raja, di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, kemajuan ummah bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, teknologi dan ekonomi, tetapi turut perlu disokong kekuatan rohani serta nilai murni, selaras dengan tema Maulidur Rasul tahun ini, ‘Ummah Maju Makmur’.
Dalam majlis yang sama, Abdul Yakub turut menyampaikan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Daerah Mukah kepada beberapa penerima bagi kategori Kepimpinan Dakwah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Cemerlang, Saudara Baru Cemerlang dan Belia Islam Harapan.
Antara penerima ialah Shafrie Saili, DSP Muhamad Rizal Alias, Ali Suhaili, Mohd Jali Kawi, Harusani Abdullah dan Mohd Helmi Zamil. Kesemua mereka menerima wang tunai RM500, plak dan hadiah iringan.
Selain itu, turut disampaikan sumbangan kepada 30 pelajar asnaf dari sekolah tahfiz dan SK Agama (MIS).
Di samping itu, turut diadakan Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul Peringkat Daerah Mukah dengan beberapa kategori seperti Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, JKKK, Masjid dan Surau, Persatuan, Kelab, Pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Institut Penganuan Tinggia Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Pusat Kemahiran, Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan.
Bagi kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, johan dimenangi oleh Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, diikuti Jabatan Tanah dan Survei Mukah naib johan dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya di tempat ketiga.
Seterusnya, bagi JKKK, Masjid dan Surau, johan dimenangi oleh Surau Darul Islah SK Mukah, diikuti Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Nadwah Kpg Tutus Hilir selaku naib johan dan KRT JKKK Kpg Penakub Ulu
di tempat ketiga.
Manakala, bagi Persatuan, Kelab, Pertubuhan, NGO dimenangi oleh Guru Kafa Daerah Mukah sebagai johan, PIBG SK Agama MIS Mukah sebagai naib johan dan PERKIP Cawangan Mukah di tempat ketiga.
Bagi IPTA, IPTS, Pusat Kemahiran, Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan, johan dimenangi oleh SK Agama MIS Mukah, naib johan UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah dan tempat ketiga SK Dua Sungai.
Kesemua johan menerima RM1000, naib johan RM800 dan tempat ketiga RM600.
Bagi anugerah sepanduk terbaik dimenangi oleh SK Agama MIS Mukah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.
Sebelum itu, para jemaah turut mendengar ceramah khas yang disampaikan oleh Ustaz Zamri Mohamad. -EDISI UKAS