Lapan Gereja Telang Usan Terima Geran UNIFOR RM1.3 Juta
MIRI: Lapan gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan menerima geran berjumlah RM1.3 juta daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi melaksanakan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, jumlah peruntukan itu merupakan antara yang terbesar diterima kawasan berkenaan setakat ini dan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membantu pembangunan rumah ibadat.
“Bantuan yang disalurkan menerusi UNIFOR telah membolehkan banyak kerja pembangunan serta penambahbaikan gereja dilaksanakan di kawasan Telang Usan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian geran UNIFOR kepada gereja-gereja berkenaan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan, di sini pada Rabu.
Lapan gereja yang menerima geran itu ialah Gereja St Walter Chapel Long Pelutan, Sidang Injil Borneo (SIB) Long Keaeh, Gereja St Theresa Long Sinung @ Long Tap, Gereja Roman Katolik St Mark Kampung Long Batan, Gereja St Paul Long San, Gereja St Stefanus Long Tebanyi, SIB Long Pilah dan SIB Long Nakan.
Dato Dennis turut menggesa gereja yang pertama kali menerima geran UNIFOR supaya mencontohi amalan pengurusan penerima terdahulu, khususnya dalam aspek perancangan, perbelanjaan dan penyediaan rekod kewangan.
Pada majlis sama, beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah turut menerima bantuan menerusi peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Menurut beliau, masih terdapat banyak permohonan bantuan yang sedang diproses dan berharap peruntukan yang diluluskan dapat disalurkan kepada komuniti terlibat secepat mungkin.