Pesta Asajaya 2026: Kepelbagaian Budaya Jadi Nadi Penyatuan Komuniti
ASAJAYA: Kepelbagaian budaya, bakat dan kreativiti masyarakat menjadi tumpuan hari kedua Pesta Asajaya 2026 yang menghimpunkan pelbagai lapisan komuniti menerusi pengisian seni, warisan, gastronomi, sukan dan rekreasi.
Keunikan masyarakat majmuk Sarawak turut diketengahkan menerusi persembahan tarian kontemporari yang menggabungkan unsur seni Melayu, Iban, Bidayuh dan Melanau, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya sebagai elemen yang menyatukan masyarakat.
Penglibatan generasi muda turut diberi perhatian apabila 100 murid daripada 10 Tadika KEMAS Daerah Asajaya menyertai Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak bagi kategori lima hingga enam tahun.
Warisan makanan tempatan pula diketengahkan menerusi Pertandingan Membungkus Burasak yang disertai 20 peserta, dengan setiap peserta diberikan tempoh 30 minit untuk menyiapkan bungkusan makanan tradisional berkenaan.
Turut diadakan Pertandingan Memasak yang mengetengahkan masakan berasaskan gula apong dan makanan laut, selain Pertandingan Yong Tau Foo di SJK(C) Chung Hua.
Bakat seni persembahan generasi muda pula diserlahkan menerusi Asajaya Idol yang memasuki saringan kedua dengan penyertaan kira-kira 20 peserta.
Dimensi sukan dan rekreasi turut menjadi sebahagian daripada pengisian pesta menerusi Kejohanan Silat, Pertandingan Memanah Terbuka Lelaki dan Perempuan serta pameran Autoshow.
Pelbagai pengisian tersebut menjadikan Pesta Asajaya 2026 sebagai platform yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang, di samping memberi ruang kepada komuniti menampilkan bakat, memelihara warisan serta menyertai aktiviti yang diminati. -EDISI UKAS