Baitulmal Santuni Masyarakat Debak, 60 Set Telekung & Beg Sekolah Disumbang
DEBAK: Sebanyak 60 set telekung dan beg sekolah disumbangkan kepada jemaah wanita serta para pelajar pada Majlis Ilmu dan Ceramah Khas Maulidur Rasul 1448H/2026 yang berlangsung di Masjid Al-Azim, di sini pada Jumaat.
Sumbangan daripada pihak Baitulmal itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyantuni masyarakat setempat serta membantu meringankan keperluan golongan yang menerima manfaat, khususnya para pelajar dan jemaah wanita.
Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN N.35 Saribas itu turut diisi dengan ceramah khas bertajuk “Rasulullah Pembawa Rahmat” yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan (PDMK), Ustaz Fadhlullah Abdullah.
Ceramah berkenaan memberi penghayatan mengenai keperibadian dan akhlak Rasulullah SAW serta nilai kasih sayang dan rahmat yang wajar diterapkan dalam kehidupan seharian.
Kira-kira 60 orang menghadiri program tersebut yang turut menjadi wadah pengisian ilmu dan memperkukuh hubungan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Program berkenaan diharap dapat terus menyemarakkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping memupuk semangat kebersamaan dan saling menyantuni dalam komuniti.-EDISI UKAS