Xiang Qi Bentuk Generasi Muda Berstrategi & Berdisiplin
SRI AMAN: Permainan Xiang Qi atau catur Cina mempunyai peranan dalam membentuk generasi muda yang berstrategi, berdisiplin dan mempunyai pemikiran kritikal, selain menjadi warisan budaya yang perlu terus dipelihara.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, permainan berkenaan bukan sekadar sukan minda, sebaliknya mempunyai nilai dalam pembentukan daya pemikiran dan ketahanan mental generasi muda.
Menurutnya, Xiang Qi menuntut pemain menguasai strategi, disiplin dan kesabaran, di samping membuat pertimbangan serta keputusan secara tepat.
“Permainan Xiang Qi atau catur Cina bukan sekadar satu cabang sukan minda biasa. Ia merupakan warisan budaya bernilai tinggi yang menuntut strategi, disiplin, kesabaran, serta pemikiran kritikal yang tajam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Xiang Qi Sarawak 2026, di sini pada Sabtu.
Kejohanan berkenaan disertai 271 peserta yang bertanding dalam kategori Terbuka, Bawah 18 Tahun (U18), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 9 Tahun (U9).
Penganjuran kejohanan itu turut menyediakan platform kepada pemain muda untuk mengasah kemahiran serta mengembangkan potensi dalam sukan minda berkenaan. -EDISI UKAS