Graduan ADTEC Perlu Kompeten, Kekal Relevan Dengan Keperluan Industri
MIRI: Graduan bidang kemahiran perlu memiliki tahap kompetensi yang tinggi dan bukan sekadar bergantung kepada kelayakan akademik bagi memenuhi keperluan dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia, Sutekno Ahmad Belon berkata, industri hari ini memerlukan tenaga kerja yang kompeten, mahir dan cekap selain memiliki disiplin, integriti serta keupayaan mempelajari perkara baharu.
Menurutnya, perubahan teknologi dan keperluan industri yang berlaku dengan pantas turut menuntut graduan supaya sentiasa meningkatkan kemahiran bagi memastikan kompetensi mereka terus relevan.
“Jangan berhenti pada pencapaian hari ini. Teruskan mengikuti kursus, mendapatkan pensijilan, membina pengalaman dan mengembangkan rangkaian profesional.
“Individu yang terus belajar akan sentiasa mempunyai nilai dan kekal relevan dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Istiadat Konvokesyen Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kali Ke-29 Tahun 2026 bagi Konvokesyen Wilayah Sarawak, di sini pada Sabtu.
Sutekno berkata, kompetensi seseorang graduan bukan sahaja dinilai berdasarkan kemahiran teknikal, malah turut merangkumi sikap dan amalan profesional ketika berada di tempat kerja.
Justeru katanya, graduan perlu melihat pembelajaran sebagai proses berterusan dengan mengambil peluang mengikuti latihan tambahan, memperoleh pensijilan serta membina pengalaman dalam bidang masing-masing.
Beliau turut menggalakkan graduan supaya berani memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk meneroka peluang kerjaya lebih luas bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata ADTEC JTM perlu terus responsif terhadap perubahan industri, perkembangan teknologi dan jangkaan majikan bagi memastikan latihan yang diberikan selari dengan kompetensi diperlukan pasaran pekerjaan.
Lebih 400 graduan ADTEC dari kampus di seluruh Sarawak menerima sijil dan diploma masing-masing pada istiadat konvokesyen berkenaan. -EDISI UKAS