RM150,000 Dana Pendidikan Bantu Pelajar Dari 54 Rumah Panjang Di Bukut & Bawan
SELANGAU: Sebanyak RM150,000 diluluskan menerusi ‘Sarawak Energy Education Fund’ bagi membantu pelajar dari 54 rumah panjang di sepanjang Jalan Bukut dan Bawan yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, peruntukan itu disalurkan melalui ‘Bukut & Bawan Education Fund’ sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sarawak Energy Berhad (SEB).
Menurutnya, bantuan kewangan secara sekali bayar itu turut disokong pelbagai program pendidikan di sekolah sekitar Bukut dan Bawan bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kualiti pembelajaran.
Sehubungan itu, beliau menyeru Tuai Rumah dan Penghulu selaku Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) supaya memainkan peranan dengan memaklumkan serta mengemukakan laporan mengenai anak-anak yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT.
“Kita tidak mahu ada anak-anak kita yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan.
“Pendidikan adalah faktor utama untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jalan dan Jambatan Kayu Rumah Annie Anak Samah di Lubok Bukut, di sini pada Khamis.
Dato Sri John Sikie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata, beliau bersama Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta sentiasa memberi perhatian terhadap aspek pendidikan bagi membantu anak-anak di kawasan Selangau dan Kakus.
Katanya, pelajar dari DUN Kakus yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan enam A dan ke atas akan menerima insentif RM100 bagi setiap A, manakala pelajar yang memperoleh semua A menerima RM1,000.
Sementara itu, Edwin berkata, beliau turut menyediakan bantuan sekali bayar kepada anak-anak dari kawasan Parlimen Selangau yang melanjutkan pengajian ke IPT, iaitu RM800 bagi peringkat diploma dan RM1,000 bagi peringkat ijazah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri John Sikie mengingatkan Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya sentiasa memastikan keselamatan penduduk rumah panjang, khususnya daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
“Jika ada individu atau perkara yang mencurigakan, segera laporkan kepada pihak polis. Bencana dadah boleh merosakkan masa depan anak-anak dan menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial yang lain,” tegasnya.
Pada majlis berkenaan, Dato Sri John Sikie menyampaikan lima cek MRP berjumlah RM59,000 serta mengumumkan geran MRP sebanyak RM50,000 kepada JKKK Rumah Annie.
Edwin pula menyampaikan dua cek MRP berjumlah RM20,000, mengumumkan geran tambahan RM10,000 kepada JKKK Rumah Annie serta meluluskan permohonan penggantian atap rumah panjang berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Selangau, Nizam Mohamad Etli dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balingian, Nolin Gendang. -EDISI UKAS