Batang Ai Terus Diperkasa Dengan Projek Infrastruktur & Peruntukan Komuniti
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan kepada pembangunan Batang Ai menerusi pelaksanaan projek infrastruktur serta sokongan peruntukan bagi memenuhi keperluan masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pembangunan kawasan luar bandar perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan penduduk mendapat manfaat daripada kemajuan infrastruktur dan ekonomi negeri.
“Beberapa projek pembangunan utama seperti Projek Jalan Batang Ai dan Lemanak kini sedang dilaksanakan dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila siap kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bersama Komuniti Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, di sini pada Khamis.
Menurutnya, perkembangan ekonomi Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan turut membolehkan Kerajaan Sarawak menyediakan Bajet Sarawak 2026 berjumlah RM14.2 bilion bagi meneruskan pelbagai agenda pembangunan di seluruh negeri.
Dalam pada itu, sebagai usaha memenuhi keperluan komuniti setempat, beliau meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Krangan Mong dan RM10,000 kepada Biro Wanita.
JKKK Krangan Mong turut menerima peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM150,000.
Datuk Dr Malcolm berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan menyokong keperluan masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperkukuh kemudahan serta pembangunan komuniti luar bandar. -EDISI UKAS