MOT Lulus RM30 Juta Naik Taraf STOLport Ba’kelalan & Long Banga
KUCHING: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Ba’kelalan dan Long Banga.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata peruntukan itu masing-masing berjumlah RM15 juta bagi STOLport Long Banga dan Ba’kelalan di bawah Dana Pembangunan Lapangan Terbang.
Menurut beliau, skop kerja yang dirancang termasuk penambahbaikan terminal serta kemungkinan memanjangkan landasan, tertakluk kepada kesesuaian keadaan dan bentuk muka bumi di kedua-dua lokasi.
“Kita tidak mahu hanya bercakap mengenai naik taraf lapangan terbang besar kerana lapangan terbang luar bandar juga masih ada dan perlu diberikan perhatian untuk dinaik taraf mengikut keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Kompleks UNIFOR di sini pada Jumaat.
Datuk Hasbi menambah, sekiranya landasan dapat dipanjangkan mengikut kesesuaian tapak, kapasiti penumpang yang boleh dibawa dari kawasan berkenaan berpotensi ditingkatkan.
Katanya, keadaan dan bentuk muka bumi setempat akan menjadi antara pertimbangan dalam menentukan skop kerja naik taraf bagi memastikan kemudahan itu dapat beroperasi dengan lebih berkesan mengikut keperluan setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah Lapangan Terbang Miri turut dirancang untuk dinaik taraf dengan kos melebihi RM400 juta, dengan proses reka bentuk kini sedang dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut mendedahkan pembinaan lapangan terbang baharu di Lawas kini berada pada peringkat awal, dengan kerja membuka tapak sedang dilaksanakan di kawasan Sundar oleh Kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA). -EDISI UKAS